Rupa dan Jiwa: Prakata Prof. DiRaja Ungku Aziz
Pameran 'Rupa dan Jiwa' Universiti Malaya pada tahu 1979 telah berjaya diadakan dengan dokongan kuat Profesor DiRaja Ungku Aziz yang pada ketika itu merupakan Naib Canselor Universiti Malaya. Berikut adalah teks prakata beliau yang telah diterbitkan dalam buku pameran yang diterbitkan sempena pameran tersebut:
Dari masa ke semasa Universiti Malaya mengadakan pamiran secara besar-besaran. Biasanya tujuan kami ialah untuk mengenalkan kepada kumpulan tertentu yang berminat, karya seni yang akan menarik perhatian mereka kepada satu tujuan istimewa sambil memberi peluang penikmatan seni itu. Kami sedar juga pentingnya mengadakan peluang untuk menambahkan pengetahuan di dalam bidang seni bagi rakyat umum sambil menghiburkan mereka.
Di dalam Pameran Rupa dan Jiwa ini, kami telah mencuba tambahkan satu maksud baru kepada tujuan biasa itu. Pameran ini terdiri dari satu kumpulan karya-karya yang tidak pernah dilihat sebagai kumpulan khusus sehingga ini di mana-mana pun di dalam dunia. Maksud pameran ini bersumberkan idea atau konsep atau pemikiran yang baru. Pameran ini bertujuan menunjukkan karya seni Melayu yang betul-betul tulen. Iaitu karya yang mengandungi corak atau rekabentuk yang telah dipengaruhi oleh seni dari tamadun lain seperti Barat, Arab, India dan Cina.
Sebenarnya, kita harus berhenti sebentar untuk memikirkan bagaimana boleh terjadi pameran seperti ini tidak dipertunjukkan sepuluh atau dua puluh tahun dahulu? Pada suatu masa yang sesuai InsyaAllah saya akan memberi pendapat saya tentang hal itu. Akan tetapi di sini memadailah jikalau saya konfrontasikan pelawat pameran ini dengan soalan itu. Saya berharap para pelawat akan menyusun jawapan masing-masing sebagai satu hasil penyaksian pameran ini.
Maka pameran ini sudah disediakan. Apakah patut saudara-saudari pelawat cari selain daripada penikmatan karya yang indah?
Kami yang menyusun pameran ini percaya bahawa corak di dalam rekabentuk Melayu mempunyai satu jenis bentuk atau lekuk yang istimewa. Keistimewaan bentuk Melayu itulah yang boleh dikesan pada kebanyakan barang-barang yang boleh dikesan pada kebanyakan barang-barang yang ditunjukkan dalam pameran ini.Perhatikanlah corak atau motif yang diukir pada kau; yang ditenun di dalam kain songket; yang ditera pada barang tuangan tembaga putih atau pada tanah liat yang dibakar; yang dianyam dari mengkuang atau buluh; dan yang dilukis pada wau dan sebagainya. Jika kita perhatikan dengan teliti, bentuk Melayu itu akan nyata di dalam semua barang-barang itu.
Dari segi sejarah seni rupa Melayu, yang mendukacitakan ialah dua aliran yang paling merosakkan atau melemahkan bentuk Melayu itu. Yang pertama, ialah pengaruh kebudayaan asing yang datang ke Malaysia dengan haul atau tenaga-kuasa yang kuat dan yang menindas dan mengikis bentuk Melayu itu di dalam berbagai bidang seni. Yang kedua, ialah sebahagian besar cendekiawan atau karyawan Melayu sendiri tidak begitu kenal atau sedia menilai barang-barang atau karya tulen mereka sendiri. Mereka terlalu gemarkan unsur-unsur kebudayaan lain seperti Barat atau Arab.
Janganlah salah faham pula. Saya tidak anti Barat atau seni Arab, dengan perasaan parokial melulu. Sebenarnya, saya sendiri menghargai karya seni Barat moden, seperti lukisan oleh Picasso atau yang lama oleh Rembrandt. Dengan maaf, saya harap dibenarkan saya mengakui bahawa saya adalah seorang daripada beberapa rakan yang berusaha keras mengenalkan seni khat, atau tulisan huruf Arab yang mengkagumkan keindahannya. Pameran Seni Khat Universiti Malaya telah dilawati oleh ratus ribu orang di seluruh Semenanjung, dua tahun lalu.
Sekarang, saya hanya berhajat mengkaji unsur-unsur tulen seni bangsa saya sendiri.
Saya bersama-sama dengan Saudara Syed Ahmad Jamal serta sahabat di Jabatan Pengajian Melayu telah lama bekerja mencari dan mengumpulkan contoh-contoh yang kami harap boleh mewujudkan fahaman yang lebih tegas tentang bentuk Melayu itu.
Usaha ini sangat kena pada tempatnya oleh sebab pameran ini dalah salah satu daripada keutamaan atau klimaks perayaan Ulangtahun Kedua Puluh Lima, Jabatan Pengajian Melayu.
Sebelum mengakhiri, benarkanlah saya, seorang ahli ekonomi pembangunan desa, yang menaruh minat kepada seni, membincang sedikit lagi tentang soal bentuk Melayu itu.
Dari segi bahasa, konsep "bentuk" itu digambarkan oleh beberapa perkataan yang bunyinya hampir sama serta maknanya tidak jauh, yang pada sendirinya indah. Umpamanya, tanah di tepi sungai atau laut dinamakan "teluk" dan di dalam corak kain songket ada bentuk "teluk berantai" yang sangat masyhor. Gerak-geri tangan dikatakan "lengguk" atau jari digambarkan sebagai "jongket". Tari asli pennuh gerak isyarat lemah lembut yang menggambarkan "lenggang-lengguk" itu. Jikalau badan yang indah dan yang selalu dihiasi oleh gadis Melayu secara tradisional, dikatakan "coping" pada hidung serta telinga.
Saya berharap, setelah mempelajari pameran ini, orang Melayu, khususnya pencinta seni serta peminat seni, akan lebih mengenal akan corak "berkeluk-keluk" atau "awan berkeluk" serta "berkeluk paku" (iaitu dari pokok paku dan bukannya paku besi).
Kita harus jangan lupa pula kadang-kadang perkataan yang pendek adalah yang paling bisa, iaitu "lok", yang ada pada rekabentuk keris. Kita tidak suka juga orang yang berkelakuan "keluk-melik".
Kepada semua ahli Jawatankuasa Pameran Jabatan Pengajian Melayu, Muzium Seni Asia, Saudara Syed Ahmad Jamal dan rakan-rakannya, yang telah berusaha bertungkus-lumus dan yang telah menjelajah ke berbagai ceruk rantau, saya mengucapkan syabas dan terima kasih.
Kepada Encik Shahrum bin Yub, Ketua Pengarah Muzium Negara, Pengarah Bank Bumiputra Sendirian Berhad, serta pihak-pihak lain yang telah meminjam barang-barang yang membolehkan kami mengadakan pameran ini, hutang budi Universiti Malaya adalah sangat besar.
Majulah fahaman seni Melayu tulen
Professor DiRaja Ungku A. Aziz
Naib Canselor, Universiti Malaya

0 comments:
Catat Ulasan